Sabtu, 4 Mei 2013

Anjing Menangis Di Hari Kematian

Kisah seram: Anjing menangis di hari kematian

Pong! Pong! Pong!

Bunyi paluan daripada masjid Kg. Lembah Kubur yang terletak di pedalaman Sabah. Ia teletak di sebuah lembah dan diberi nama ‘kubur’ kerana kawasan berkenaan pernah menjadi tempat mangsa-mangsa kekejaman tentera Jepun dikebumikan beramai-ramai tanpa nisan suatu masa dahulu.

Paluan tadi hendak mengkhabarkan bahawasanya ketua kampung telah meninggal dunia tengahari tadi. Penduduk kampung yang berkumpul dikhabarkan berita tersebut dan mereka dibahagi-bahagikan tugas agar pengebumian jenazah dapat segera dilakukan sebelum Maghrib.

Ah Fatt (40an), si penggali kubur menerima turut menerima khabar tersebut.

"Bila nak kebumikan?", tanya Ah Fatt.

"Sebelum maghrib... sempat ker?", tanya wakil masjid kepadanya.

"Sempat...", jawab Ah Fatt.

"Baguslah", jawab wakil masjid tadi sebelum berlalu meninggalkan Ah Fatt seorang diri.

Pada masa pengebumian…

Petang itu suasana sayu dan hiba bagi keluarga dan penduduk kampung. Ketua kampung berkenaan telah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun lamanya dan dia adalah ketua yang baik serta dihormati. Semua penduduk kampung menyayanginya dan kehilangan ini dirasakan sukar dicari pengganti.

Selesai pengebumian, Ah Fatt masih lagi di kawasan kubur berkenaan bagi mengerjakan kerja-kerjanya yang ditangguhkan pada hari itu. Selain menggali kubur, Ah Fatt juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebersihan persekitaran serta menjaga kawasan kubur daripada dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, pihak masjid telah menyediakan sebuah rumah untuknya berdekatan dengan kawasan kubur dan Ah Fatt duduk berseorangan di situ kerana dia belum berumahtangga.

Pada malam hari…

Bulan mengambang penuh pada malam itu. Ah Fatt bercadang untuk berjaga malam kerana kebiasaannya kubur baru akan menjadi sasaran golongan-golongan yang mengamalkan ilmu hitam. Golongan-golongan berkenaan kadang-kadang akan menggali semula kubur baru dan ada juga yang melakukan pemujaan di situ kerana mengikut fahaman mereka kubur-kubur yang baru ini lebih kuat kuasanya.

Sambil berjalan, Ah Fatt memerhatikan kawasan persekitaran kubur yang hanya diterangi bulan mengambang penuh... itupun hanya bagi kawasan-kawasan terbuka sahaja. Bagi kebanyakan kawasan yang terletak di bawah pohon merimbun, ianya gelap dan menyeramkan. Maka, Ah Fatt sekali sekala akan menggunakan lampu suluhnya untuk memerhatikan kawasan-kawasan gelap berkenaan kerana khuatir ada golongan-golongan pengamal ilmu hitam ini bersembunyi.

Adakah Ah Fatt seorang yang berani? Jawapannya, Tidak. Dia juga manusia biasa yang ada perasaan takut. Bezanya dia sudah terbiasa dengan keadaan tersebut maka perasaan takutnya dapat dikawal. Namun, jika dia teringat kisah-kisah menyeramkan pasti ketakutannya akan sukar dikawal kembali.

Sedang berjalan, tiba-tiba Ah Fatt melihat seperti ada pergerakan di bawah sebuah pohon besar yang rendang. Ah Fatt mengarahkan lampu suluhnya ke arah tersebut yang terletak dalam jarak 20 meter darinya.

"Helloooo... anybody there?", teriak Ah Fatt sambil mempraktikkan Bahasa Inggeris yang dipelajarinya sewaktu belajar di kelas orang-orang tua anjuran AJKK kampungnya.

Ah Fatt mendekati tempat itu secara perlahan-lahan. Apabila tiba di bawah pohon besar tadi, Ah Fatt berteriak, "Ya Allah!" dengan kuatnya. Ah Fatt terkejut dan jantungnya bagai hendak tercabut bila melihat lembaga putih di atas pokok berdekatan. Bila diperhatikannya dengan teliti, ianya cuma kain buruk yang tersangkut di situ. Ah Fatt mengusap-usap dadanya yang berdegup dengan kencang. "Siapalah punya kerja ni? Bikin takut jer", fikir Ah Fatt.

Belumpun reda ketakutannya, tiba-tiba terdengar pula anjing menangis dengan nyaring tidak jauh darinya.

Auw Auwwwww! Auw Auwwwww! Auw Auw Auwwwww!

Tangisan anjing berkenaan dapat kedengaran jauh. Ia menyeramkan. Bulu roma Ah Fatt menegak dengan tiba-tiba.

"Anjing mana pulak ni? Sial punya anjing... awas kau!". Ah Fatt pergi mencari anjing tersebut dengan niat mahu mengusirnya. Anjing menangis bermakna dia terlihat hantu. Hantu wujud baik kita tidak tahu kemunculannya dan tangisan anjing itu telah memberitahu kemunculan tersebut. Maka, lebih baik anjing itu diusir dan tangisannya dihentikan dengan kadar segera.

Auw Auwwwww! Auw Auwwwww! Auw Auw Auwwwww!
Auw Auwwwww! Auw Auwwwww! Auw Auw Auwwwww!
Auw Auwwwww! Auw Auwwwww! Auw Auw Auwwwww!

Bunyi tangisan berterusan tanpa henti dan Ah Fatt terus tercari-cari anjing berkenaan. Kemudian, bila semakin dekat dengan bunyi anjing tersebut, tiba-tiba ia berhenti serta merta dan suasana sunyi semula. "Aik! Dah berhenti? Tadi dengar macam dekat jer... kalau dah berhenti mesti aku perasan anjing tu lari", fikir Ah Fatt sendirian.

"Mana pulak anjing ni? Kot-kot hantu menjelma jadi anjing? Erk! Janganlah!!!". Ah Fatt sudah ketakutan. Badannya bergetaran. Jantungnya bedegup dengan pantas. Peluh membasahi tubuhnya.

Ah Fatt terus mencari dan difikirannya berbagai imaginasi yang menakutkan.

Jika diikutkan bunyi yang terakhir tadi, sememangnya anjing itu sudah berdekatan tetapi tanpa mendengar anjing itu berlari meninggalkan tempat itu ia menunjukkan anjing itu masih ada di situ. Maka, Ah Fatt memeriksa kawasan tersebut dengan lebih teliti.

Sedang Ah Fatt mengarahkan lampu suluhnya pada sebuah pokok, dia terlihat sesuatu yang menakutkan. "Astagfirullah!", teriaknya dan kejutan kali ini lebih kuat daripada kejutan pertama tadi. Kali ini Ah Fatt melihat lembaga hitam tergantung di atas pokok. Seekor anjing hitam menjadi korban pada malam itu dan digantung pada lehernya seperti pesalah menjalani hukuman gantung.

Anjing itu masih ada sedikit nyawa bila Ah Fatt terlihat ada sedikit pergerakan pada kakinya. Lehernya yang terjerut menyebabkan mulut anjing berkenaan terbuka luas, liurnya meleleh dan matanya terbeliak.

"Kerja siapakah ini!?", teriak Ah Fatt yang benar-benar ketakutan pada ketika itu.

"Pengamal ilmu sihir? Orang jahat? Hantu?", fikir Ah Fatt yang cuba membuat andaian sendirian.

Ah Fatt ingin berlari meninggalkan kawasan tersebut tetapi terlihat satu kertas putih bersih di atas tanah di bawah anjing yang tergantung tadi. Jika diikutkan dengan kebersihan kertas itu, maknanya ia masih baru walaupun kawasan tersebut adalah pokok-pokok dengan tanah yang becak. Kertas baru itu bermakna ianya baru di bawa ke situ dan belum dikotori oleh persekitarannya.

Ah Fatt mengambil kertas itu cepat-cepat dan ada tulisan menggunakan tanah di atasnya. "Nota?", fikir Ah Fatt.

Ah Fatt membacanya dan nota itu berbunyi: 'Aku sudah tidak sanggup untuk hidup lagi. Kekasih ku curang bersama teman baikku... aku ditikam dari belakang... selamat tinggal dunia'. Di bawah kertas itu ada cop kaki anjing sebagai tandatangan penulisnya.

Anjing itu mati bunuh diri. Dia menangis tadi kerana putus cinta. Nota itu buktinya.

"What the fak! Nak mati senyap-senyap tak boleh ker!? Nak jugak menangis malam-malam buta ni!", marah Ah Fatt kepada bangkai anjing yang tergantung tadi. Bau busuk pula menjelma. Ah Fatt tercirit dalam celana.

1 ulasan:

  1. Cari Bandar Bola , Casino & Slot ?
    Yuk gabung sekarang juga di SCO388 dan dapatkan bonus deposit tanpa batas sekarang juga!
    Menang berapa saja PASTI DIBAYAR!

    HOT PROMO :
    > Bonus Deposit New Member 30%
    > Bonus Next Deposit 10%
    > CashBack 10%

    Link alternatif :
    > scx388 com
    > sco388 info

    BalasPadam